Powered by Blogger.
Latest Post

Adat Minang - Kisah Benar

Written By Pentadbir on Wednesday, February 27, 2013 | 8:47 AM

Kisah benar ini terjadi pada diri aku sendiri dan untuk dikongsi bersama.

Adik ipar aku yang pernah mengalami kegagalan dalam rumahtangganya yang pertama telah diaturkan jodoh oleh saudara mara. Calun isterinya yang kedua ini adalah orang Perak (tak perlulah aku sebutkan kawasannya) tetapi berketurunan Orang Minang dari Tanah Minangkabau. Kawasan perkampungannya juga diduduki oleh orang Minang yang masih mengamalkan adat yang di bawah dari seberang.

Pernikahan mereka dilakukan di pejabat kadhi dan dibuat lebih awal. Ketika mengaturkan jadual untuk hari langsung, pihak lelaki (adik ipar aku) terpaksa menukar tarikh kerana bertembung dengan majlis perkahwinan saudara juga. Masaalah yang timbul ialah pihak perempuan dijadualkan bersanding dua pasang pengantin, iaitu dengan pasangan abangnya pula pada hari yang sama. Tarikh mereka pula tidak boleh ditukar kerana akan menyulitkan pihak perempuan abangnya pula.

Setelah dijalankan perundingan maka masing-masing bersetuju supaya majlis perkahwinan di rumah adik ipar aku dilangsungkan seminggu lebih awal. Walaupun perkara ini di luar kebiasaan kerana biasanya hari langsung dibuat di rumah perempuan dahulu, tetapi persetujuan telah dicapai dengan beberapa syarat seperti di bawah:
  1. Pengantin tidak boleh diarak ketika sampai
  2. Tiada majlis persandingan
  3. Tiada makan beradab
Maka berlangsunglah kenduri di rumah pengantin lelaki dahulu dengan rombongan pengantin perempuan datang bersama iringan beberapa kereta jiran sekampungnya. Apabila sudah makan, mereka meminta untuk berundur diri.

Memandangkan masih ada keluarga dan kawan-kawan pihak lelaki yang belum datang maka kami meminta supaya pengantin perempuan dan pengapitnya tidak dibawa pulang dahulu. Aku telah berjanji bahawa aku sendiri akan menghantar mereka pulang pada sebelah malam. Ibu pengantin perempuan yang ikut serta pun bersetuju.

Setelah selesai kenduri di rumah pengantin lelaki, aku pun menghantar pengantin perempuan bersama pengapitnya pulang dengan ditemani oleh adik ipar aku (pengantin lelaki sendiri), isteri aku dan anak sulung aku yang ketika itu berusia lebih kurang 4-5 tahun.

Ketika kami keluar dari kereta tiba-tiba aku rasa kereta aku bergoyang di dalam gelap. Kelihatan pengantin perempuan tersepuk di tepi kereta sambil meraung kesakitan. Dalam terpinga-pinga aku terdengar suara menjerit di dalam gelap. Rupanya abang pengantin perempuan tengah naik angin lalu menendang adiknya dengan tendangan terbang (flying kick). Kemudian, muncul beberapa orang dari dalam gelap menerpa ke arah si abang lalu menangkapnya untuk ditenangkan.

Aku mengarahkan adik ipar aku membawa isteri barunya naik ke rumah sambil menjadi penghalang di antara pengantin perempuan dengan abangnya. Beberapa kali si abang menunding jari kepada aku sambil membentak dengan kata-kata "Abang urang lua. Abang urang semenda. Abang tak bulieh campo!"

Aku bertenang. Setelah adik ipar aku dan isteri barunya naik bersama pengapit, isteri dan anak sulung aku naik, barulah aku naik ke rumah. Masih terdengar jeritan dan makiannya dengan kata-kata "Mati den bunuoh budak ni kang! Buek malu kaluargo! Memang batumpah daghah kito malam ko!"

Aku terus naik ke rumah dan duduk di rumah ibu yang dipenuhi oleh orang-orang tua, lelaki dan perempuan. Setelah diperkenalkan kepada orang tua-tua yang duduk bersila di situ baru aku tahu ada dikalangan mereka ialah Ketua-Ketua Adat yang dipanggil Buapak. Ibu pengantin perempuan juga ada duduk di situ sambil menangis.

Bila aku bertanya apakah yang sebenarnya terjadi, tiba-tiba Ketua Adat di situ terus membuat tuduhan mengatakan pihak pengantin lelaki telah mungkir janji lalu mengingatkan kembali syarat-syarat yang telah dipersetujui. Aku terpinga-pinga lalu meminta penerangan maksud kata-kata itu.

Kakak pengantin perempuan yang duduk disebelah ibunya mula bercerita. Katanya, apabila rombongan yang pergi menghantar tadi balik ke kampung maka timbullah kisah yang mula menjadi buah mulut orang kampung. Dikatakan mereka yang kedua pengantin diarak ke rumah lalu di dudukkan di bawah kemah bersanding sambil makan beradab. Kemudian mereka disandingkan pula ditengah lama. Ada yang mula menuduh keluarga pengantin perempuan mengamalkan adat Cina. Cerita-cerita sebegini menyebabkan abang pengantin perempuan tadi naik darah.

Aku termenung seketika sambil menoleh keliling. Si abang yang mengamuk tadi telah berada di tangga dapur tetapi masih dihalang dan dipegang oleh beberapa orang. Sesekali terdengar juga suara jeritannya yang masih tidak berpuashati dan mengulangi perkataan-perkataan yang sama.

Entah dari mana datangnya kekuatan dan keberanian, aku pun tak tahu. Tetapi dengan penuh keyakinan aku mula berkata dengan loghat Minang:

"Apak-apak, ibu-ibu, uwo jo akak nan ado siku. Bia den ulo an tangan kuncuit cando sulor kantan mamintak apun dan maap manyusun kato kalua bicaro." Suasana tiba-tiba hening. Orang-orang yang berkumpul ada yang terlopong mulutnya kerana tidak menyangka aku akan bercakap loghat Minangkabau walaupun bukannya pandai sangat. Kemahiran yang aku peroleh ketika belajar menyanyi lagu-lagu daerah Minangkabau.

"Memang batuo kato abang si Ita. Den urang samondo. Urang luar. Indak layak campuri urusan kaluargo.  Kok disuruh paie den paie. Kok disuruh datang den datang. Kok indak bakayu api den ka utan manabang balak. Kok indak ado air ditanak makonyo den yang manggali parigi buek ditimbo. Tapi..... itu di rumah sandighi." Aku menghela nafas perlahan-lahan mencari kekuatan baru.sambil mengingatkan beberapa skrip drama dan buku yang pernah aku baca. "Kok di laman urang, den ayam jaguoh mantuo. Itu teh adat urang samondo yang sabana ea."

Sambil memandang ke arah abang pengantin perempuan yang terdiam di pintu dapur rumah itu aku terus berucap. "Kok abang si Ita maun mengecek soal adat, mari siko baselo dulu. Bukan den nak mangaja tapi nak mangingek an. Adat urang Minang yang kuriek tu kundi, yang merah tu sago. Mari kito babincang elok-elok dulu caro urang ba adat. Babudi bahaso. Kok tak maun ea salasai, baru ka laman kita mambukak langkah. Kok balago di galanggang den yang jadi ayam jantan ea. Itu adat samondo." Menggigil badan aku menahan semangat dan rasa marah yang sejak tadi aku tahankan.

Melihat suasana terus hening, keyakinan aku semakin bertambah. "Adat Minang juo manantu an mupakat itu panghulu sagalo rajo dan rajo segalo panghulu. Batuo ko indak, Pak?" Aku melontarkan soalan kepada Ketua Adat yang termanggu-manggu. "Bilo manyusun alek kan dah basatuju jo syarat cando disabuit bulek aieh dek pambuluoh, bulek kato dek muapakat. Bukankah memasing alah satuju manongkah arus tapi kito bukan mangampang badai?"

"Bukanko alah satuju sado ea mengubah yang lazim? Manga diungkiek manga dihino?"

Tiba-tiba kakak pengantin perempuan menyampok "Tapi pihak sabalah mungkir janji. Syarat dilangga."

Aku tersentak. "Syarat apo yang dilangga?" Aku mencelah semula sebelum kakaknya terus menyerang lagi. "Amak pangantin ado di sinan tadi. Tanyo an kek amak ea."

Aku menoleh ke arah emak pengantin perempuan. "Ado ko bakompang basalawat kito tadi maso datang manyambuit? Basilang tangan ko maso makan dikemah? Basemah, basambah ko maso di laman?"

"Memanglah ramai yang mangiring tapi yang mangiring ea urang siko, bukan ea urang kami. Takkan nak dibiarkan baduo yo nan ka rumah sadangkan yang mangikuit ea ramai. bilo sampai di laman tantu juo urang kami manyambuit. Dah disambuit dilawo makan di kemah. Ado juo sadaro jo sahabat taulan yang ingin bagamba mako kami latak an duo karusi di tangah laman indak batika indah balapik. Palamin ko namo ea tu? Sia yang bijak bana manjojo carito alek cando Cino?" Aku memandang keliling.

Beberapa orang perempuan yang duduk berhampiran pintu berhinsut turun. Ada yang menundukkan muka. Mungkin mereka itu adalah sebahagian daripada rombongan yang mengiring pengantin tengahari tadi.

"Sekarang den nak batanyo. Nak ikuit syarak ko nak ikuit adat. Kok ikuit syarat padusi alah sah jadi isteri urang. Adiak ipar den ado hak mambawo pulang. Kok ikuit adat kita buek cando dirancang dan alah dipasatujukan. Adat Minang menggendong adat menjunjuong syarak." Aku menoleh ke arah abang pengantin perempuan yang duduk tertunduk di pintu dapur. "Nak bulek kato muapakat ko nak batandak tangah laman?"

Dengan rasa serbasalah, ketua-ketua adat meminta berdamai. Aku bersetuju dengan syarat kisah ini hendaklah tersimpan sehingga majlis perkahwinan di rumah perempuan dilangsungkan. Aku tidak mahu kisah ini disampaikan kepada keluarga adik ipar aku yang lain terutama kepada ibubapa mertua aku. Syarat ini aku minta isteri dan adikipar aku berjanji untuk menyimpan rahsia ini.

Dalam perjalanan pulang, aku masih terfikir-fikir bagaimana aku begitu berani untuk menghadapi semua ini. Alhamdulillah. Bersyukur aku kepada Allah SWT sebab arwah abah aku selalu bercerita dengan aku pasal adat walaupun dia sendiri tidak mendapat didikan formal dalam urusan adat. Selain itu, pengalaman aku bergiat aktif dalam drama pentas dan berpuisi banyak membantu aku mengungkap kata-kata.

Nasihat aku kepada semua, belajarlah sedikit sebanyak adat masing-masing supaya nanti kita tidak dimalukan orang. Tidak perlu menjadi AHLI adat. Cukup sekadar untuk tidak dituduh sebagai orang yang tidak beradat kerana orang yang tidak berada itu sama seperti orang yang tidak beradab.


Tips IT 01-03 Carian Kata

Written By Pentadbir on Tuesday, February 26, 2013 | 11:16 AM

Korang tak berair ke mata korang bila kena cari satu perkataan dalam satu dokumen teks?

Dulu, masa aku guna Wordstar, WordPro (Lotus Suite) atau Words (MS Office) seronok juga aku buat kerja sebab kalau ada perkataan yang silap senang cari guna wordsearch. Kalau nak tukar ejaan dalam satu dokumen pun.

Katakanlah korang buat cerpen atau novel. Bila dah siap novel tu tetiba gf korang ke, bini korang ke tak berkenan dengan nama watak perempuan dalam cerita tu sebab sama dengan ex-gf korang. Dia pun suruh tukar pakai nama dia. Kalau cerpen tu ok juga nak tukar semua nama yang ada dalam 4-5 mukasurat. Mungkin adalah dalam 15-20 kali nama tu timbul. Tapi kalau dalam novel? Terkentut-kentut juga kalau nak dibelek satu-satukan? Jadi, korang bolehlah gunakan fungsi find and replace dalam applikasi tersebut.

Itu kita cerita dalam applikasi yang memang telah menyediakan fungsi tersebut. Bagaimana pula masa korang tengah baca dokumen yang panjang di internet? Lagi haru kalau dokumen tu menggunakan font yang kecil. Payah juga kan?

Selalu dulu aku menyumpah bila kena sunting skrip .xml yang digunakan untuk susun-atur blog. Dengan segala cacing kerawit pun ada kat situ berselerak.

Cuba korang klik imej kat sebelah ni biar dia besar sikit. Bayangkan kod-kod javascripts, css dan entah apa ke benda lagi macam yang korang nampak tu. Panjang kod tu lebih kurang sepanjang scrollbar warna merah. HTML tag dia jer yang sepanjang scrollbar warna hijau.

Korang tengok tak saiz scrollbar indicator yang kecik tu (warna biru) menunjukkan berapa panjang lagi yang nak korang scroll ke bawah.

Banyak tak? Yang nak dicari satu tag macam <id:sidebar>. Lenguh jugalah. Kalau masa buat javascripts tu tak susah sangat mencarinya sebab biasanya jscripts tak banyak arahan dalam satu-satu dokumen .htm/html, tapi kalau blog layout punya skrip memang PUNYAla panjang.

Jadi untuk memudahkan kerja, korang boleh gunakan butang F3 saja.

Nak cuba? Mudah saja.

Korang cari apa-apa dokumen kat internet tu atau tengok entri dalam Facebook yang panjang berjela.  Atau mungkin korang dengar ada berita dalam akhbar Online yang tersilap taip menyebabkan perkataan tersebut jadi perkataan lucah tapi bila korang baca ulang-ulang kali korang tak jumpa sebab mata dah tinggal sebaris lidi dek mengantuk.
Nak cuba kat sini pun boleh.

Lepas tu korang tekan butang F3 dan tengok sebelah bawah kiri skrin korang tu. Ada tak benda macam yang aku tunjukkan dengan anak panah merah?

Dalam ruangan yang disediakan tu cuba korang taip satu perkataan dengan cara huruf demi huruf. Sambil tu korang tengoklah skrin tu sekali. Amacam? Jadi tak?

Kalau korang nak cari perkataan yang sama seterusnya, korang tekan jer butang F3 tu berulang kali sehingga korang sampai kepada ayat yang sebenar korang nak cari menggunakan perkataan tersebut.

Selain daripada itu, kalau korang perhatikan sebelah ruang masukan kata di bawah tu ada menu di sebelah kanannya. Korang boleh juga gunakan menu Next atau Previous yang ada kalau nak cari perkataan tersebut sebelum atau sesudah carian terakhir.

Cuba korang klik butang Highlight All pula. Apa jadi? Yang Match Case tu korang cuba sendiri laaaa... hehehehe

(Kalau nak komen tu, komen lah kat bawah ni. kalau korang komen kat Pesbuk tu nanti ruang komen kat bawah ni tinggal kosong jer. Kesian dia, kan? lagipun, kalau korang komen kat bawah ni, komen tu akan kekal sampai bila-bila selagi blog ni masih bernyawa. Bolehlah juga orang lain baca komen korang tu termasuk anak cucu. Kat Pesbuk tu kita-kita jer yang baca. Kalau komen korang tu dasat, nanti aku salin dan tempekkan kat dinding Pesbuk, ya? hehehe)

Yang ini ialah contoh baru tadi aku buat kat Facebook:

Adat Orang Beradat

Written By Pentadbir on Sunday, February 24, 2013 | 11:58 PM

Aku ni bukanlah seorang bijak pandai dalam adat tetapi kerana melihat semakin pupus adat-adat yang menjadi amalan nenek moyang kita maka aku terpanggil untuk cuba mengupas. Tiada niat untuk mengajar tetapi ingin berkongsi kefahaman. Semoga kupasan ini dapat memberikan munafaat kepada kita semua terutama generasi yang akan datang untuk melahirkan insan berbudi mulia dan berhemah tinggi. Semoga kita dan generasi akan datang tidak dipanggil sebagai orang tak beradat atau lebih buruk lagi dipanggil "Kurang Ajar". Wallahualam

Bila bercakap pasal adat sekarang mungkin ramai yang mencemikkan muka dan menyatakan bahawa adat sudah tidak relevan di dalam kehidupan masa kini. Ini disebabkan kerana semakin ramai orang Melayu yang telah meninggalkan adat pusaka datuk nenek moyang mereka oleh kerana beberapa faktor:
  • Hidup merantau yang membuatkan mereka terbiasa dengan adat orang atau langsung tidak mengamalkan adat
  • Bermastautin di tempat lain yang tidak mengamalkan adat yang sama
  • Berkahwin dengan pasangan dari negeri lain yang mengamalkan adat berbeza atau dari tempat-tempat yang tidak mengamalkan adat lagi.
  • Berkahwin dengan pasangan bukan Melayu/Islam yang sememangnya tidak tahu menahu dengan adat istiadat orang Melayu/Islam 
Perlu diingatkan bahawa adat adalah peraturan hidup sesuatu masyarakat yang digubal sebelum kedatangan Islam di Nusantara (Kepulauan Melayu). Adat adalah undang-undang dan hukum yang diamalkan. Apabila Islam mula berkembang di kawasan ini, maka adat semakin diserapkan ke dalam hukum syarak mengikut mana yang sesuai. Adat juga menentukan budi bahasa dan kesopanan seseorang itu seperti pantun di bawah ini:
Nan kuriek kundi
nan merah sago
nan baiek itu budi
nan indah itu bahaso
Yang kurik kundi
yang merah saga
yang baik adalah budi
yang indah ialah bahasa
Adat orang merantau Di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung
Adat orang berkasih Bila dekat berkirim salam
bila jauh berkirim rindu
Adat mencari jodoh Bila berkenan dirisik-risik
Bila setuju bertepak sirih
Cukup tempoh janji diarak dikompang
Adat orang semenda Tak ada kayu kita ke hutan
tak ada air kita menggali perigi
Adat orang berjuang Patah sayap bertongkat paruh
Adat menyampaikan hajat Kalau menyelok biar sampai ke pangkal lengan
Adat merebut sesuatu Biar putih tulang
jangan putih mata.
? ??

Kalau dilihat dari beberapa adat yang disebutkan di atas tadi ternyata ianya menampilkan keperibadian seseorang itu. Ini menjadikan kita akan rasa lebih berkeyakinan apabila dipandang orang sebagai seorang yang tahu berbudi bahasa dan bertata susilan.

Oleh itu, adalah satu kesilapan apabila mengatakan adat tidak lagi relevan dalam kehidupan masakini dan bertentangan dengan syarak. Syarak mengajar kita berbudi bahasa kepada semua orang terutama yang lebih tua dari kita.

Bermula dari situ aku mula menyusur semula beberapa adat yang masih diamalkan atau pernah diamalkan oleh kelompok-kelompok tertentu. Ternyata Adat Minang samada Adat Temenggung atau Adat Perpatih masih lagi kelihatan cermat ketika penyusunannya satu ketika itu. Kerana itu aku memberikan penumpuan kepada Adat Minang dahulu sebelum merungkai adat-adat yang lain kerana Adat Minang (termasuk adat istana raja-raja Melayu) telah tertulis sedangkan banyak adat lain yang hanya tinggal cebisan yang masih diamalkan.

Sekiranya suku daripada adat tersebut dapat diserapkan ke dalam adat-adat lain atau diamalkan semula oleh mereka yang tidak mempunyai pertalian adat lagi, mungkin keperibadian rakyat Malaysia akan kelihatan lebih hebat dan gemilang.

Bila bercakap mengenai adat Minang/Perpatih maka akan timbullah di dalam benak fikiran ungkapan yang menakutkan ini:

Biar mati anak jangan mati adat
Untuk mencari kepastiannya aku bertanya kepada Abang Hamzah Saaban yang pernah merisik adat di Minangkabau. Lalu berceritalah dia:
Suatu ketika dahulu, seorang anak raja di Tanah Minang telah bermukah dengan isteri orang ketika suaminya tiada di rumah. Ketika si suami pulang, anak raja tersebut sempat melarikan diri dengan terjun dari rumah tetapi keciciran kerisnya.

Sang suami telah berdatang sembah kepada raja lalu bertanya apakah hukum adat orang yang berzina?

Maka jawab raja itu hukumnya ialah hukum bunuh.

Sang suami bertanya lagi, "Bagaimana kalau tercucuk mata hitam?" maksudnya kalau terkena keluarga sendiri.

Raja menjawab "Hukumnya tetap dibunuh."

Lalu sang suami mengeluarkan keris anak raja lalu dipersembahkan. Walaupun raja terkejut tetapi baginda tetap melaksanakan adat. Setelah disiasat, kedua-duanya mengaku salah lalu dihukum bunuh.
Di sinilah bermulanya 'Biar mati anak jangan mati adat' yang bermakna yang bersalah tetap dihukum untuk menegakkan keadilan adat yang merupakan undang-undang ketika itu. Bukankah hukum itu selari dengan hukum syarak? Hukum bunuh ini tidak dikenakan sewenang-wenangnya kepada kesalahan-kesalahan kecil dalam perlanggaran adat kerana kesalahan-kesalahan sebegitu mempunyai peruntukan lain seperti denda dan sebagainya.

Arwah mak aku pernah bercerita kisah satu suku di Melaka yang melarang perkahwinan serumpun iaitu perkahwinan sama suku. Ini disebabkan mereka yang sesuku ini mempunyai pertalian darah yang masih dekat. Sekiranya berkahwin juga maka pasangan tersebut akan diikat dan dihanyutkan di sungai dengan sampan tanpa pendayung bersama bekalan makanan. Di mana sampan itu tersangkut dan mereka terlepas dari ikatan di situlah mereka membuat penempatan. Ini juga bermaksud anak tersebut telah mati dalam adat mereka kerana perlanggaran adat. Mati yang tidak bermakna dibunuh. Walaupun hukum syarat tidak melarang perkahwinan saudara mara tetapi disyorkan supaya berkahwin dengan mereka di luar pertalian supaya masaalah ginetik (kalau ada) mungkin tidak diturunkan ke anak cucu.

Jadi, sebelum kita mempertikaikan adat sesuatu puak hendaklah terlebih dahulu diselidik adat tersebut dengan mendalam dan melihat dari segi rasionalnya pada ketika itu. Kemudian, kita lihat pula sama ada ianya masih boleh diamalkan lagi atau tidak. Akhirnya kita bandingkan dengan syarak pula supaya ianya tidak bercanggah seperti yang terdapat di dalam Adat Minang:

 

Tips IT 01-02 Memudahkan Highlighting

Written By Pentadbir on Friday, February 15, 2013 | 11:02 AM

Ada bermacam-macam cara untuk melakukan 'highlight'. Cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan tikus mondok korang seperti yang selalu korang buat tu laaa... (aku pun buat macam tu juga. hehehe)

Itu pun tak tahu juga? Meh aku ajar kejap. Bagi yang dah tau tu jangan nak ngada-ngada mengomen. Abaikan saja bab ni. Pergi main jauh-jauh sikit.

1. Highlight menggunakan tetikus
Apa yang perlu korang buat ialah meletak penanda tetikus (mouse pointer) korang kat permulaan dokumen macam imej kat bawah ni (tengok penanda merah):

Klik imej untuk paparan jelas

Kemudian klik butang kiri tetikus dan tahan! Seret penunjuk tetikus tu sampai hujung dokumen yang korang nak macam imej di bawah dan lepaskan butang kiri tetikus tadi.

Klik imej untuk paparan jelas

Sonang yo tu, kan? Tunggulah masa korang buat kerja mustahak dan perlu disiapkan cepat, masa itulah tikus mondok korang meragam. Domam....... hehehe

Bagi yang menggunakan pad sesentuh (touch pad) menggantikan tetikus, letakkan penunjuk seperti di atas. Dwiklik dan tahan pada klik kedua dan seret. Cuma yang menjadi masaalahnya ialah bila dokumen yang diperlukan terlalu panjang. Jadi, cara yang di bawah ini boleh memudahkan kerja korang.

2. Highlight menggunakan Penunjuk dan butang 'Shift'
Mula-mula korang letakkan penunjuk tetikus atau penunjuk sesentuh di awal dokumen. Lepas tu, tekan butang 'Shift' di papan kekunci dan TAHAAANNN!!! (ewah! Macam Hetty Koes Endang bagi ulasan dalam AF pula.). Kemudian korang letak penunjuk tetikus tu di hujung dokumen dan klik butang kiri tetikus. Walaahhh.... Dan boleh lepaskan butang 'Shift' di papan kekunci.


3. Highlight menggunakan butang di papan kekunci
Ini adalah cara lama. Aku gunakan teknik ini masa zaman belum ada tikus mondok lagi. Azab, kan? Tak juga kalau korang dah biasa. Cuma kerja tu lambat la sikit. Cuma kelebihan mengetahui cara ini ialah apabila tetikus atau 'touchpad' korang rosak. Tak perlulah nak menjerit cari duit nak ganti tetikus tengahmalam atau nak hantar laptop tu pergi kedai pertengahan bulan. Gaji belum masyuuukkkkkkk....

Mudah saja sebenarnya. Korang hanya perlu meletakan penanda (tiang yang lip-lap tu laaa) di awal dokumen kunci kursor (cursor key). Terdapat empat kunci kursor yang mewakili arah kiri, kanan, atas dan bawah (macam silat Imam Abu pula - kiri, kanan, depan dan belakang).

Tekan butang 'Shift' di papan kekunci dan tahan. Gunakan kunci kursor untuk mengheret penanda ke hujung dokumen dan lepaskan butang 'Shift'. Aku selalu gunakan teknik ini untuk 'highlight' beberapa perkataan sahaja terutama bila tetikus aku melompat-lompat (jumpy), kadang-kadang ada kadang-kadang tidak.

OK laaa..... kalau ada maklumat lain untuk topik ni nanti aku kemaskinikan kemudian. Lepas ni aku nak akan cerita pula macam mana nak gunakan butang lain pula. Jangan jadi macam aku yang memang selalu pakai baju tak berbutang. kih kih kih.

Tips IT 01-01 Jom belajar menaip dulu!

Written By Pentadbir on Monday, February 4, 2013 | 3:47 PM

Memanglah komputer ada sediakan kemudahan menyunting (edit), menyimpan dan menyunting semula sebelum dicetak atau dihantar. Ini membolehkan kita menaip sesuatu teks tersebut dengan lebih senang hati kerana boleh dibetulkan sebarang kesilapan berbanding dengan menaip di mesentaip. Namun, dengan kemahiran menaip akan lebih banyak membantu mempercepatkan kerja-kerja kita.


Cuba rujuk gambar di atas.
  • Huruf Q, A, Z - Jari kelingking kiri
  • Huruf W, S, X - Jari manis kiri
  • Huruf E, D, C - Jari tengah (hantu) kiri
Untuk jari telunjuk pula mempunyai tugas yang lebih berat kerana bertanggungjawab ke atas dua butang kekunci setiap baris.

Begitu juga dengan jari di tangan kanan yang berfungsi sebagai replika kepada tangan kiri.

Kedua-dua jari ibu pula berkongsi tugas untuk butang 'spacebar'.

Mudah bukan? hehehe....

Mudah kalau kita menggunakan teknik di atas untuk mesintaip tetapi untuk papan kekunci komputer pula terdapat banyak butang fungsi lain yang perlu ditekan. Biasakan sahaja menggunakan asas di atas ini dahulu dan untuk butang yang lain tu ikut suka hati korang lah nak pakai jari mana. Cuma untuk bermula, biasakan meletak jari kelingking kiri di atas butang "A"

Akan datang nanti kita cerita pasal jalan pintas pula.

Sakit tengkuk, bahu dan belikat

Written By Pentadbir on Saturday, February 2, 2013 | 7:11 AM

Dari Facebook Wong Solo,

Sakit tengkuk, bahu dan belikat merupakan gejala klasik bagi sakit sendi faset tengkuk (cervical facet syndrome). Penyakit ini sejenis keradangan sendi (artritis) yang boleh berlaku di sepanjang tulang belakang kita. Bahagian paling biasa terlibat adalah pinggang dan leher kerana kedua-dua bahagian inilah yang paling banyak melakukan pergerakan pada tulang belakang kita. Sakit pada tengkuk akan lebih ketara pada waktu pagi selain daripada rasa kejang. Pening atau rasa hanyut juga boleh menyusul.

Selain itu, otot-otot pada bahu dan leher juga menjadi sakit apabila dipicit. Pesakit juga berasa seperti kebas pada tangan atau jari. Jika sendi bahu sudah mula sakit dan susah digerakkan, ini menandakan anda mendapat penyakit susulan kesan daripada sakit sendi faset ini, iaitu kekakuan sendi bahu (frozen shoulder). Ini biasa berlaku pada pesakit yang mengidap sakit sendi faset tengkuk jika dibiarkan tanpa rawatan.

Rawatan perubatan alternatif banyak yang tidak terbukti keberkesanannya. Rawatan yang mujarab ialah suntikan radiofrekuensi pada saraf sendi faset tersebut. Suntikan ini akan melemahkan saraf yang membawa signal sakit pada sendi terlibat. Apabila saraf sudah ‘kebas’, maka tiada lagi rasa sakit atau pening.

Jika kita sudah tidak rasa sakit, leher boleh bergerak bebas dan lebih produktif. Kita tidak perlu risau proses artritis kerana penuaan jika ia tidak memberi rasa sakit. Ramai orang yang mengalami artritis pada sendi tapi penyakit ini tidak mengganggu mereka.

Majoriti daripada pesakit (80 peratus) telah sembuh sehari selepas rawatan radiofrekuensi. Pengambilan suplemen antioksidan dan vitamin sendi seperti chondrotin-glucosamine amat digalakkan untuk proses penyembuhan sendi dan memperlahankan proses penuaan.

Rawatan radiofrekuensi tidak terdapat di hospital kerajaan kecuali HUSM.

Tetapi rawatan ini boleh didapati di hospital swasta tertentu. Perlu diingatkan, hasil yang cemerlang daripada rawatan suntikan ini bukan disebabkan oleh teknologi atau suntikan semata-mata, tetapi ia banyak bergantung pada kepakaran doktor (yang terlatih) melakukan suntikan, diagnosis yang tepat dan masa yang betul (tidak terlalu serius). Sendi bahu yang sakit dan kaku boleh dirawat dengan suntikan ubat ke dalam sendi dan juga rawatan suntikan radiofrekuensi. — with Rosilawati Abdul Rahman and 2 others.

Penawar Sakit Belikat, Sakit Bahu, Sakit Pinggang, Sakit Badan, Sakit Urat dan Angin dalam Badan.

Dari entri Facebook Wong Solo


PUSAT RAWATAN ISLAM KISWAH
Penawar Sakit Belikat, Sakit Bahu, Sakit Pinggang, Sakit Badan, Sakit Urat dan Angin dalam Badan.


Daun katik murai sangat berkesan mengurangkan sakit belikat dan sakit badan.

Antara rawatan sakit badan, sakit belikat adalah:
Mengambil secara rutin rebusan air herba katik murai selama seminggu - 40 hari. Alhamdulillah pengalaman pengguna dan keluarga nya, jika sakit belikat dan bahu kerana 'masuk angin' akibat duduk terlalu lama, salah tidur dan sebagainya, herba katik murai sangat-sangat membantu...

Urut / sakit badan / sengal / masuk angin –

minyak zaitun, garam bukit, madu, cuka epal

Pegang dengan tangan kanan dan baca
Surah Ali Imran ayat 145 dan al Anbiya' ayat 30 serta Surah al Qadr sebanyak 7 kali.

Baca banyak kali bacaan bertikut sambil memegang tempat sakit:
بِسْمِ اللهِ الَّذِى لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلا فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ

Amalan lain:

1) Mandi ais setiap petang selama 7 hari sebelum Maghrib. Campuran segelas air ruqyah, sebaldi besar air paip, garam secawan dan limau purut. Jangan lap selepas mandi. Selepas 7 hari mandi jadi ketika perlu.

2) Rendam kaki dan tangan dengan bahan berikut selama 7 hari:
a. Air panas + secawan garam bukit selama sejam selepas Isyak.
b. Air sejuk + secawan garam; seperti di atas- dibuat bergilir-gilir.

3) Sapu / urut dengan minyak zaitun sekerap mungkin. Pastikan sentiasa berminyak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
مَا أَنْزَلَ اللهُ دَاءً إِلاَّ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً – رواه البخاري –

Mafhumnya : Rasulullah s.a.w bersabda: “ Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali berserta dengan ubatnya.”
— with Noriah Kasnon, Rosilawati Abdul Rahman and KetamGila MadCrab.
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ex-SMDKP Boys n Girls - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger