Berita Harian, Sabtu, 21 Disember, 1985
Seperti lain-lain luak di Negeri Sembilan, Sungai Ujong adalah satu-satunya luak yang mempunyai ketua adat bergelar Undang. Bagaimanapun ia agak berbeza daripada lain-lain luak kerana sistem pemerintahannya bertunggakkan kepada dua waris yang berlainan.
Kedua-dua waris itu ialah Waris di Darat yang bertunggakkan kepada Datuk Undang Kelana yang bergelar Datuk Kelana Putera dan Waris di Air bertunggakkan kepada Datuk Shahbandar atau Datuk Bandar.
Semenjak kematian Undang Kelana kira-kira dua tahun lalu, tempat itu dibiarkan kosong dan belum dicari ganti. Bagaimanapun ini bukan bererti yang Luak Sungai Ujong telah kehilangan tunggaknya. Masih ada satu tunggak lagi yang berupaya mententeramkan keadaan di luak itu iaitu Datuk Shahbandar sendiri.
Biasanya, apabila kedua-dua pesaka ini terisi, masing-masing saling bekerjasama dan hormat antara satu sama lain. Kata sepakat dan kebulatan muafakat sentiasa dicari, permusuhan dan ketegangan dijauhi.
Sebenarnya, kedua waris itu, di Darat dan di Air, berasal dari satu keturunan, cuma hak dan pangkat adatnya sahaja yang berlainan yang hanya akan ditentukan mengikut peraturan yang teradat.
Waris di Darat dan Waris di Air diumpamakan
'mata hitam' dan 'mata putih' menatang bersama telur nan sebiji (pesaka).
Kata perbilangan ada yang dipetik dalam Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong fasal 14, ceraian 8 dan 9 menyebutkan:
"Undang lagi hilang di Darat,
di Air tolong mencarikan,
dan hilang di Air,
di Darat tolong mencarikan".
Pesaka Undang Luak Sungai Ujong yang bergelar Datuk Kelana Putera hanya boleh disandang oleh dua waris Kelana sahaja, iaitu Waris di Hulu dan Waris di Hilir dari Kampung Pantai sahaja.
Ini adalah disebabkan pesaka Undang Kelana adalah kepunyaan orang-orang Kampung Pantai, bukan kampung-kampung lain dalam wilayah Sungai Ujong itu. Pesaka Kelana adalah hak dan waris yang tasak di Pantai dan bukan kepunyaan waris mendatang atau waris lingkungan.
Waris di Hilir adalah dari dua perut: Perut Kampung Gedang yang juga perut asal dan tasak. Perut ini ada dua pecahan iaitu Perut Tok Amah dan Perut Tok Raoh. Perut Tok Amah adalah perut yang tua.
Perut kedua ialah perut dari Kampung Manggis yang disebutkan sebagai perut mendatang dan diakui sebagai Waris Lingkungan bagi Kampung Gedang. Perut ini berasal daripada Kampung Beranang, Setur dan Mantin yang datang ke Pantai ketika mereka dijemput yang kemudiannya diakui sebagai Waris Lingkungan dan Waris di Hilir.
Menurut Teromba, Kampung Manggis dan Kampung Gedang adalah dari satu kawasan sebelum ia dipecahkan seperti sekarang. Manakala keturunan Waris di Hilir Kampung Manggis yang bertaraf Waris Kampung Gedang yang juga Waris di Hulu dari keturuan Tok Kelambu atau Mohd Tumbu.
Bicara:
"Oleh sebab itu, Waris di Hilir Kampung Manggis mempunyai pertalian persaudaraan yang amat rapat dengan Waris di Hulu hingga ke hari ini," kata Teromba itu.
Kata Teromba itu di Pasal ke 14 ceraian 7 berbunyi:
"Maka oleh sebab belas kasihan anak cucu Tok Musang itu akan saudara daging darahnya itu kerana adat mengatakan sama saib semula dan jua oleh muafakat daripada anak cucu Tok Mudah memanggil anak cucu Tok Mungkai dan Tok Derani di Beranang, Setur dan Mantin, tinggal di Pantai didudukkan ia pada pihak di Hilir bernama Kampung Manggis oleh bagi pihak Kampung Hulu itu sempit dan tiada tempat hendak didudukkan dengan sebab itulah sehingga sekarang maka itu Perut Hulu dan Hilir pada hal ia satu keturunan jua. Maka adalah dengan sebenarnya bagi Perut Hilir itu bernama Kampung Gedang. Kerana inilah asalnya keturunan daripada Tok Mengkudu bin Tok Musang dan inilah satu keturunan bagi Perut Hilir yang belum pernah menerima gelaran Pesaka Datuk Kelana Putera itu lagi hingga sekarang (kecuali dari Perut Tok Rioh Undang Kelana yang baru lalu)."
Jika diteliti secara terperinci berdasarkan jurai keturunan Waris di Hulu telah terpilih seramai lima orang untuk memegang pesaka Datuk Kelana manakala Waris di Hilir pulai seramai empat orang adalah tidak benar dan mengelirukan anak Waris Kelana sendiri. Sebenarnya oleh kerana Waris di Hulu dan di Hilir Kampung Manggis dari keturunan yang sama bererti pesaka Datuk Kelana yang diwarisi di Hulu telah menjadi lapan orang sedangkan Waris di Hilir yang tasak dari Kampung Gedang hanya seorang sahaja.
Lembaga Waris Kelana:
Semua Waris Kelana dari di Hulu adalah di bawah kuasa Datuk Lembaganya yang bergelar Datuk Shah Johan Lela Perkasa Setiawan. Pesaka Datuk Shah Johan itu masih kosong berikutan dengan pemecatannya oleh Datuk Kelana Putera yang kira-kira sepuluh tahun lalu.
Semenjak pemecatan itu hingga ke hari ini, Waris Kelana dari Waris di Hulu tidak mempunya Datuk Lembaga untuk mentadbir adat dalam waris itu.
Justru itu, untuk menghidupkan kembali Datuk Lembaga yang telah dipecat itu, terserahlah kepada budi bicara Datuk Kelana sendiri. Ini juga bererti segala apa jua kerapatan dan kemuafakatan yang dibuat semasa ketiadaan Datuk Lembaga itu adalah tidak diakui sah di segi adat. Dan keputusan yang dibuat tidak mengikut lunas-lunas adat yang teradat.
Bagi semua Waris Kelana dari Waris di Hilir pula adalah di bawah kuasa Datuk Seri Maharaja Lela yang jawatan Datuk Lembaga masih ada pemegangnya dan kekal hingga sekarang.
Bagaimanapun, pada suatu ketika dahulu ada percubaan menjatuhkan Datuk Seri Maharaja Lela ini, tetapi oleh kerana telah disedari oleh anak-anak buah yang setia dengan beliau, maka percubaan itu telah ternyata gagal.
Jawatan Datuk Seri Maharaja Lela yang disandang oleh Datuk Zamanhuri Haji Abdul Rahman yang sekarang sedang bertugas di Selangor itu kekal hingga sekarang.
Semenjak daripada percubaan hendak menjatuhkan datuk itu semua anak-anak Waris di Hilir saling bekerjasama dan sedia berjaga-jaga supaya pisang tidak berbuah dua kali. Golongan yang tidak bertanggungjawab sentiasa diawasi dan dikenal pasti.
Selain dua Waris Kelana, Waris di Darat juga terdiri daripada tiga waris persukuan iaitu:
- Waris Datuk Menteri; dari Suku Semelenggang,
- Waris Datuk Raja di Muda; dari Suku Biduanda,
- Waris Datuk Maharaja Inda; dari Suku Batu Hampar.
Ketiga Datuk Lembaga Tiga Persukuan dan Datuk Andika Mendelika itu saling bekerjasama dan Datuk Andika tidak ada kuasa mutlak seperti Datuk Kelana Atau Datuk Shahbandar, sebagai tunggak utama di Sungai Ujong itu.
Datuk Andika juga tidak boleh bertindak bersendirian dalam perkara bersangkutan dengan adat atau dalam mencari Datuk Kelana seperti kata adat:
"Lembaga Bersekat, Undang Berkelantasan."
Menurut seorang anak Waris di Darat, Undang Luak Sungai Ujong, Encik Mohd Rom Daud, penyelewengan dalam adat boleh mencetuskan kemarahan Waris Kelana yang akhirnya akan mencetuskan perpecahan dan setiap anak waris hendaklah mematuhi kata-kata adat.
Waris di Darat dari Waris Datuk Andika Mendelika bertaraf Datuk Lembaga dan beliau sendiri sebagai lembaga kepada warisnya. Keturunan dari waris ini tidak berhak menuntut pesaka "Datuk Kelana atau Datuk Bandar disebabkan tunggaknya kepada Lembaga sahaja," kata Encik Mohd Rom.
"Sebenarnya Waris Datuk Andika berasal dari anak angkat kepada Tok Serimenai atau Serimani yang bersuamikan Perdana Ramping yang tidak mempunyai anak dan mengambil anak angkat yang kemudiannya dilantik sebagai Datuk Andika Mendelika bertaraf Lembaga," katanya.
Tok Serimenai adik kepada Tok Semerega.
Katanya lagi, Datuk Andika Mendelika juga merangkap salah seorang daripada Datuk Lembaga Tiang Balai Yang Empat kepada Datuk Undang Luak Sungai Ujong. Selain Datuk Andika itu ialah, Datuk Seri Maharaja di Raja, Datuk Akhiruzzaman Rantau dan Datuk Amar Penghulu.
Tidak tegak Balai tanpa ada empat orang Datuk Lembaga ini yang dikatakan sebagai Tiang kepada Balai Undang Kelana. Kata sepakat daripada keempat-empat datuk ini sangat diperlukan kerana mereka telah disifatkan oleh adat sebagai empat bersaudara.
"Jika berjalan sama melangkah dan apabila melangkah sama sederap. Pakaian diberi taraf yang sama. Tiada kata sepakat keempat ini tiadalah kebulatan dalam muafakat dan adatnya," tegas Encik Mohd Rom lagi.
Datuk Seri Maharaja Diraja pula adalah Datuk Lembaga Waris di Air merangkap Datuk Lembaga kepada Datuk Shahbandar Luak Sungai Ujong yang juga selaku penasihat peribadi dan adat kepada Datuk Shahbandar sendiri.
Gelaran sebenar Datuk Seri Maharaja Diraja yang sekarang disandang oleh seorang bekas pendidik, Datuk Azman Jamlus itu ialah Datuk Seri Maharaja Diraja Lagi Bandar di samping mempunyai bidang kuasa kelantasan hingga kepada Datuk Bandar sendiri.
"Sebarang kerapatan permuafakatan dan keputusan yang diambil oleh anak-anak waris terlebih dahulu mendapat restu daripada beliau," kata Encik Mohd Rom lagi.
Bagi Tiang Balai Datuk Akhiruzzaman yang bertugas sebagai Datuk Lembaga Waris di Air Rantau yang juga boleh menerima kuasa pada Waris di Darat yang disebutkan:
"Mengimbau ke darat ke air pun boleh.""Ini, dek keturunan Datuk Akhiruzzaman bukan dari keturunan anak angkat, tetapi dari keturunan berbangsa iaitu hasil dari perkongsian anak perempuan kepada Batin Lenggang Setur Mantin dengan Datuk yang mula-mula membuka jajahan Rantau iaitu Datuk Akhiruzzaman," kata Encik Mohd Rom.
Datuk Akhiruzzaman sekarang disandang oleh seorang guru di sebuah sekolah menengah di sini. Haji Bahari Hamzah yang pun diakui sah oleh Dewan Keadilan Negeri Sembilan yang bersidang pada 20 Oktober lalu di Istana Besar Seri Menanti.
Mengikut peraturan, apabila jawatan itu telah diakui sah oleh Dewan Keadilan tiada siapa lagi yang berhak menggantikan tempatnya sebagai Datuk Akhiruzzaman, demikian disebutkan dalam Teromba dalam fasal ke27 dalam aturan memilih waris.
Mengikut sejarah, Datuk Muda Labu dari keturunan Tok Monkon iaitu orang yang mula-mula meneroka jajahan Labu. Beliau orang yang mula-mula sekali dibawa mengadap ke bawah Kaus Undang Kelana oleh Datuk Shahbandar Megat yang kemudiannya diberikan gelaran 'Datuk Muda Labu Bergajah Tunggal.'
Gading
Gelaran seumpama itu disebabkan Tok Monkon mempersembahkan bersama sebatang gading dari seekor gajah tunggal yang dibunuhnya di Mukim Labu.
Pada hari mengadap itu juga Tok Monkon membawa bersama persembahan ke bawah Undang Kelana seekor kerbau, 50 gantang beras dan wang sebahara $24 dengan pengiring-pengiringnya.
Asal-usul Datuk Shahbandar Luar Sungai Ujong
Datuk Shahbandar berketurunan dari Datuk Semerenga Waris di Air iaitu Putera Bendahara Sekudai. Beliau adalah adik ketiga kepada empat orang adik beradik yang tua, Tok Kelambu, kedua: Tok Musang dan adik bongsunya, Tok Serimenai.
Datuk Shahbandar berkuasa sebagai tunggak di Air di Sungai Ujong seperti yang telah diatur sendiri oleh ayahanda beliau, Bendahara Sekudai.
Namun demikian, semasa ketiadaan Datuk Kelana seperti sekarang, Datuk Shahbandar adalah tunggak di luak itu. Pada asalnya kedua mereka, Kelana dan Shahbandar, bersaudara dan hak pesaka kedua telah ditentukan oleh ayahandanya.
Dalam soal mencari ganti pula Waris di Air ketiadaan tunggak Datuk Kelana boleh mencari ganti penyandang pesaka Datuk Shahbandar, demikian juga sebaliknya, mereka hendaklah tolong menolong antara satu sama lain.
Pautan bersangkutan:
Cucu Tg Munawir
Utusan Melayu
+ comments + 5 comments
x faham lah
thanks u guys safe 30mark 4 my final exam..malaysia so fantastic
Waris di air. Anak cucu esah.
Berita harian ini halaman berapa?
ﺑِﺴْـــﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﻦِ ﺍﻟﺮَّﺣِﻴْـــﻢ
سُبْحَانَ اللَّهِ
وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ
وَ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَ اللَّهُ أَكْبَر
وَ لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى ءال سيدنا محمد
أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْهٌ
ْ آمِيّنْ يَا رَبَّ العَـــالَمِيْن
Post a Comment
Nak komen tu komen gak tapi agak agaklah sikiek yo. hehehe