Bila bercakap pasal adat sekarang mungkin ramai yang mencemikkan muka dan menyatakan bahawa adat sudah tidak relevan di dalam kehidupan masa kini. Ini disebabkan kerana semakin ramai orang Melayu yang telah meninggalkan adat pusaka datuk nenek moyang mereka oleh kerana beberapa faktor:
- Hidup merantau yang membuatkan mereka terbiasa dengan adat orang atau langsung tidak mengamalkan adat
- Bermastautin di tempat lain yang tidak mengamalkan adat yang sama
- Berkahwin dengan pasangan dari negeri lain yang mengamalkan adat berbeza atau dari tempat-tempat yang tidak mengamalkan adat lagi.
- Berkahwin dengan pasangan bukan Melayu/Islam yang sememangnya tidak tahu menahu dengan adat istiadat orang Melayu/Islam
Nan kuriek kundi nan merah sago nan baiek itu budi nan indah itu bahaso |
Yang kurik kundi yang merah saga yang baik adalah budi yang indah ialah bahasa |
Adat orang merantau | Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung |
Adat orang berkasih | Bila dekat berkirim salam bila jauh berkirim rindu |
Adat mencari jodoh | Bila berkenan dirisik-risik Bila setuju bertepak sirih Cukup tempoh janji diarak dikompang |
Adat orang semenda | Tak ada kayu kita ke hutan tak ada air kita menggali perigi |
Adat orang berjuang | Patah sayap bertongkat paruh |
Adat menyampaikan hajat | Kalau menyelok biar sampai ke pangkal lengan |
Adat merebut sesuatu | Biar putih tulang jangan putih mata. |
? | ?? |
Kalau dilihat dari beberapa adat yang disebutkan di atas tadi ternyata ianya menampilkan keperibadian seseorang itu. Ini menjadikan kita akan rasa lebih berkeyakinan apabila dipandang orang sebagai seorang yang tahu berbudi bahasa dan bertata susilan.
Oleh itu, adalah satu kesilapan apabila mengatakan adat tidak lagi relevan dalam kehidupan masakini dan bertentangan dengan syarak. Syarak mengajar kita berbudi bahasa kepada semua orang terutama yang lebih tua dari kita.
Bermula dari situ aku mula menyusur semula beberapa adat yang masih diamalkan atau pernah diamalkan oleh kelompok-kelompok tertentu. Ternyata Adat Minang samada Adat Temenggung atau Adat Perpatih masih lagi kelihatan cermat ketika penyusunannya satu ketika itu. Kerana itu aku memberikan penumpuan kepada Adat Minang dahulu sebelum merungkai adat-adat yang lain kerana Adat Minang (termasuk adat istana raja-raja Melayu) telah tertulis sedangkan banyak adat lain yang hanya tinggal cebisan yang masih diamalkan.
Sekiranya suku daripada adat tersebut dapat diserapkan ke dalam adat-adat lain atau diamalkan semula oleh mereka yang tidak mempunyai pertalian adat lagi, mungkin keperibadian rakyat Malaysia akan kelihatan lebih hebat dan gemilang.
Bila bercakap mengenai adat Minang/Perpatih maka akan timbullah di dalam benak fikiran ungkapan yang menakutkan ini:
Biar mati anak jangan mati adatUntuk mencari kepastiannya aku bertanya kepada Abang Hamzah Saaban yang pernah merisik adat di Minangkabau. Lalu berceritalah dia:
Suatu ketika dahulu, seorang anak raja di Tanah Minang telah bermukah dengan isteri orang ketika suaminya tiada di rumah. Ketika si suami pulang, anak raja tersebut sempat melarikan diri dengan terjun dari rumah tetapi keciciran kerisnya.Di sinilah bermulanya 'Biar mati anak jangan mati adat' yang bermakna yang bersalah tetap dihukum untuk menegakkan keadilan adat yang merupakan undang-undang ketika itu. Bukankah hukum itu selari dengan hukum syarak? Hukum bunuh ini tidak dikenakan sewenang-wenangnya kepada kesalahan-kesalahan kecil dalam perlanggaran adat kerana kesalahan-kesalahan sebegitu mempunyai peruntukan lain seperti denda dan sebagainya.
Sang suami telah berdatang sembah kepada raja lalu bertanya apakah hukum adat orang yang berzina?
Maka jawab raja itu hukumnya ialah hukum bunuh.
Sang suami bertanya lagi, "Bagaimana kalau tercucuk mata hitam?" maksudnya kalau terkena keluarga sendiri.
Raja menjawab "Hukumnya tetap dibunuh."
Lalu sang suami mengeluarkan keris anak raja lalu dipersembahkan. Walaupun raja terkejut tetapi baginda tetap melaksanakan adat. Setelah disiasat, kedua-duanya mengaku salah lalu dihukum bunuh.
Arwah mak aku pernah bercerita kisah satu suku di Melaka yang melarang perkahwinan serumpun iaitu perkahwinan sama suku. Ini disebabkan mereka yang sesuku ini mempunyai pertalian darah yang masih dekat. Sekiranya berkahwin juga maka pasangan tersebut akan diikat dan dihanyutkan di sungai dengan sampan tanpa pendayung bersama bekalan makanan. Di mana sampan itu tersangkut dan mereka terlepas dari ikatan di situlah mereka membuat penempatan. Ini juga bermaksud anak tersebut telah mati dalam adat mereka kerana perlanggaran adat. Mati yang tidak bermakna dibunuh. Walaupun hukum syarat tidak melarang perkahwinan saudara mara tetapi disyorkan supaya berkahwin dengan mereka di luar pertalian supaya masaalah ginetik (kalau ada) mungkin tidak diturunkan ke anak cucu.
Jadi, sebelum kita mempertikaikan adat sesuatu puak hendaklah terlebih dahulu diselidik adat tersebut dengan mendalam dan melihat dari segi rasionalnya pada ketika itu. Kemudian, kita lihat pula sama ada ianya masih boleh diamalkan lagi atau tidak. Akhirnya kita bandingkan dengan syarak pula supaya ianya tidak bercanggah seperti yang terdapat di dalam Adat Minang:
Post a Comment
Nak komen tu komen gak tapi agak agaklah sikiek yo. hehehe