Home » , , » Perkahwinan Minang - Akad Nikah

Perkahwinan Minang - Akad Nikah

Written By Pentadbir on Tuesday, June 11, 2013 | 8:05 PM

Akad Nikah

Seperti yang diterangkan secara ringkas di dalam Carta Perkahwinan, terdapat dua cara akad nikah yang dijalankan:
  1. Pada pagi hari langsung/persandingan
  2. Sebelum hari langsung/persandingan
Mengikut kelaziman dahulu, hari akad nikah diadakan pada pagi hari kenduri besar atau lebih dikenali dengan panggilan Baralek Gadang (Kenduri Besar). Kini, disebabkan kekangan masa bakal pengantin atau jurunikah maka upacara akad nikah ini sering dilakukan lebih awal dari pada Kenduri Besar yang juga dikenali dengan Hari Persandingan/Hari Langsung. Ini lebih merupakan kembali kepada amalan asal.

Zaman dahulu, memandangkan rumah-rumah kampung bersaiz kecil maka pernikahan sering dilakukan di masjid atau surau berdekatan. Selepas pernikahan, pengantin lelaki akan dijemput ke rumah mertuanya untuk disandingkan dengan pengantin perempuan pada hari yang sama. Berbeza dengan sekarang, pernikahan dijalankan beberapa hari/minggu/bulan lebih awal sebelum Hari Langsung.

Terdapat beberapa petua dari orang-orang tua yang masih digunapakai. Petua-petua ini adalah untuk melancarkan majlis pernikahan supaya ijab dan kabul tidak tersangkut-sangkut dan berulang-ulang kali. Di antaranya adalah seperti berikut:
  1. Ketika menaiki masjid, surau atau rumah pengantin perempuan elakkan bersalaman dengan mereka yang berada di tepi tangga. Di sinilah peranan pengapit yang berpengalaman yang akan menyambut salam tersebut bagi pihak pengantin. Cukup sekadar pengantin memberikan senyuman. Petua ini dikatakan mampu mengelak dari terkena sebarang perbuatan jahat yang boleh disampaikan melalui jabatan tangan tadi. Berikan salam kek kepada malaikat kiri dan kanan dan bersalawatlah ketika menaiki tangga atau memasuki pintu rumah.
  2. Sekiranya persada atau tilam kecil disediakan untuk diduduki oleh pengantin, tarik sedikit bucunya supaya kedudukannya akan berganjak dari asal. Mengikut tafsiran orangtua, sekiranya seseorang ingin membuat onar/dajal seolah-olah menanam bom jangka di sesuatu tempat yang telah ditetapkan untuk orang yang akan dianiaya itu berhenti atau duduk. Jadi, apabila kedudukan tilam tersebut telah beralih seolah-olah posisi sasar (target position) telah bertukar.
  3. Kedudukan pengapit ketika duduk hendaklah rapat di sebelah kanan dengan bahu kirinya menekan lengan kanan pengantin. Kepalanya pula terlentuk sedikit ke sebelah kanan supaya jauh sedikit dari kepala pengantin lelaki. Kepala pengapit hendaklah sentiasa tegak sepanjang ijabkabul dalam keadaan siapsiaga. Adakalanya dipercayaai terdapat beberapa yang nakal untuk menduga pihak pengantin lelaki tetapi selalu ditujukan kepada pengapit untuk menguji. Oleh itu sekiranya terlihat seperti kilauan yang datang, tolak sedikit lengan pengantin lelaki sebagai syarat menjauhkannya dari dituju ilmu orang.
  4. Sebaik-baiknya seorang yang lebih tua seperti bapa saudara, datuk atau abang duduk menemani pengantin di sebelah kirinya pula. Letakkan tangan di bawah peha pengantin supaya mudah mencuitnya sebagai isyarat melafazkan kabul sebaik sahaja jurunikah menghabiskan ayat ijabnya. Dengan cara ini, pengantin tidak akan terleka dan sentiasa bersedia.
  5. Kalau mengikut petua orang tua-tua, sebaiknya lafaz ijabkabul dilakukan dua kali. Yang pertama biarlah lebih perlahan dan yang kedua biarlah lebih kuat dan jelas. Sekiranya banyak kali menampilkan rasa gemuruh dan kurang yakin serta boleh menimbulkan fitnah seperti dipermainkan orang menggunakan ilmu halus. Sekiranya sekali pula dianggap seperti tidak sabar-sabar. Namun begitu, kebanyakkan orang muda sekarang lebih bangga kalau sekiranya dapat melafazkan ijabkabul tersebut berjaya pada kali pertama sahaja.

Share this article :

Post a Comment

Nak komen tu komen gak tapi agak agaklah sikiek yo. hehehe

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ex-SMDKP Boys n Girls - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger