Home » » Bicara Cikgu JK - Meneruskan Kehidupan

Bicara Cikgu JK - Meneruskan Kehidupan

Written By Pentadbir on Thursday, October 6, 2011 | 5:20 PM

Seminggu sebelum mendapat kemalangan motosikal saya berada di Singapura yang telah sekian lama saya tidak ziarahi. Semasa bertugas di Johor Bahru kadang kadang hampir setiap hari saya masuk ke Singapura, sekadar membeli buah buahan yang jauh lebih murah dari di Johor Bahru. Pada malam saya berada di Singapura, saya sempat ke Marina Bay dan makan malam di situ. Pemandangan pada waktu malam sungguh cantik, antara tercantik pernah saya lihat. Kecantikan Singapura jauh lebih cantik daripada biasa yang lihat. Saya bersiar siar di Marina Bay sehingga jam 2 pagi bersama isteri saya, dan anak saya, Bob dan keluarganya. Keesukan hari kami ke Orchard Road pula dan kawasan sekitarnya, dan mengambil LRT untuk ke Woodland dan seterusnya kembali ke Malaysia.

Saya bercadang ke Singapura dalam seminggu dua lagi, dan kali ini menaiki motosikal mengeliling pulau Singapura, satu yang tidak pernah saya lakukan. Hasrat saya itu saya sampaikan kepada anak saya, Bob (panggilan kepada anak bongsu sejak dilahirkan), yang bertugas di Hotel Peranakan di Singapura. Lawatan saya ke Singapura hanya 2 hari satu malam, dan saya terpaksa kembali kerana bertugas shif malam di Hotel Alamanda.

Sehari sebelum kemalangan motosikal saya tinggal di rumah Bob di Cheras. Selepas memelakukan solat, saya bergegas ke hotel, juga bertugas shif malam. Selesai hand over pagi itu, saya kembali ke Cheras dan tidak menduga sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas diri saya. Tidak saya duga sama sekali shif malam itu tugas terakhir saya di hotel tersebut. Dengan demikan rancangan saya ke Singapura menaiki motosikal tidak kesampaian. Saya telah ke Johor Bahru menaiki motosikal dari Seremban untuk beberapa kali.

Biasanya selepas tamat tugas saya terus balik ke Seremban dan singgah di R & R kalau keletihan dan mengantuk. Jadi kebiasaan saya rehat hingga tertidur di atas kerusi di Petronas Seremban Arah Selatan, dan scenario demikan suatu yang tidak menghairan pekerja Petronas di situ. Mungkin mereka sekarang mungkin tertanya tanya ke mana saya menghilangkan diri setelah sekian lama saya tidak ke situ.

Sampai di Cheras saya sarapan pagi dulu kemudian tidur hampir dua jam. Saya mandi supaya berada di dalam keadaan segar dan mulakan perjalanan balik ke Seremban kira kira jam 11 pagi, dan berhenti di Pam Minyak Esso untuk tambah angin kepada kedua dua tayar motosikal, dan menyambung semula perjalanan saya. Tak sampai pun 10 mint kemudian, di hadapan Stesen Minyak Esso, saya terdengar angin dari tayar belakang terlepas dan tayar menjadi kempis. Belum pun sempat saya memikirkan apa yang perlu lakukan, saya dan motosikal rebah ke jalanraya, dan isteri saya terbaring di tengah jalanraya. Mujurlah tiada kereta yang melanggar kami berdua.

Ramai yang menyaksikan apa terjadi kepada kami dan segera menyelamatkan kami. Saya minta selamatkan isteri saya dahulu sebelum kereta atau motosikal melanggarnya. Saya cuba berdiri sendirian tapi tidak terdaya. Dua orang mengangkat saya ke tepi. Setelah kami berdua di selamatkan baru motosikal saya dibawa ke tepi. Ada cuba menalipon ambulan untuk kejarkan kami berdua ke hospital. Dalam kesibukan itu, datang seorang Hamba Allah yang sanggup menghantar kami berdua ke hospital dengan menaiki keretanya. Ada beberapa orang memasukkan wang ke dalam poket baju saya.

Mungkin hospital terdekat ialah Hospital UKM di Cheras. Kami terus dimasukkan ke Wad Kecemasan dan mendapat rawatan segera. Saya segera menghubungi anak saya kedua, Khairull'nidzam memaklumkan apa yang telah terjadi kepada saya. Tarikh 22hb Februari suatu tarikh yang sentiasa di dalam ingatan saya. Ia adalah harijadi Pengasas Pengakap, yang semasa saya aktif sebagai pengakap memang saya sibuk dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan diberbagai peringkat sama ada sekolah, daerah atau negeri.

Khairull'nidzam sampai di Wad Kecemasan kira kira satu jam kemudian dan terus menghubungi dua orang lagi anak saya - Khairull'anuar dan Khairull'bahri (Bob). Saya tidak diberikan apa apa apa makanan. Saya minta Khairull'nidzam pergi mencari isteri saya yang mungkin sedang mendapat rawatan sewajarnya. Kira kira jam 8 malam baru saya dimasukkan ke Wad 5 Trauma dan buat pertama kali diberikan makanan dan minuman. Alhamdulilah, isteri saya tidak dimasukkan ke wad, dan saya minta Khairull'nidzam membawa isteri saya balik ke rumahnya di Ulu Langat. Khairull'nidzam nasihatkan saya minta keluar pada keesukan hari dan masuk ke hospital kerajaan bagi mengurangkan kos rawatan hospital.

Pada keesukan nya, 23hb Februari, saya maklumkan hasrat saya untuk keluar hospital, dan pihak hospital tidak membantah. Pada masa lawatan, saya menerima pelawat saya yang pertama sejak dimasukkan ke wad terdiri dari keluarga terdekat saya. Saya dikeluarkan dari wad jam 2 tengahari, dan segala urusan keluar dan bayar rawatan dilakukan oleh Khairull'anuar. Turut sama membawa saya keluar ialah isterinya dan anak mereka Nazeeha. Hari itu secara kebetulan ialah harijadi Nazeeha (dilahirkan di London) dan juga harijadi anak saya, Bob. Sudah jadi budaya keluarga saya untuk meraikan harijadi ahli ahli keluarga dengan makanan malam sekelurga. Keadaan tidak mengizinkan untuk makan malam sekelurga diadakan buat kali ini.

Ada dua pilihan ke hospital mana saya akan dimasukkan. Pilihan saya ialah di Seremban, tapi anak anak saya memilihi untuk masukkan saya di Hospital Ampang kerana untuk memudahkan mereka menziarahi saya. Saya menerima keputusan mereka dan bagi kali kedua dalam 24 jam saya diwadkan, kali ini di Wad 5A. Saya bernasib baik kerana dibenarkan untuk makan dan minum. Saya menalipon Khairull'nidzam meminta isteri saya dihantar ke wad untuk menjaga saya, kerana pergerakan saya yang sangat terbatas.

Sepanjang tempoh saya diwadkan di Hospital Ampang, saya berpuashati dengan layan baik dan mesra setiap kakitangan di Wad 5A, juga kepada kakitangan Jabatan X Ray dan Jabatan Pembedahan. Saya terhutang budi ke atas setiap doktor dan jururawat (termasuk pelatih) yang telah merawat saya dengan baik.

Kerana saya mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, pembedahan besar ke atas kaki kanan saya ditangguhkan beberapa kali ini. Saya menjalani pembedahan kecil di Hospital UKM, dan satu lagi di tapak tangan kanan sebelum menjalani pembedahan besar di kaki kanan saya. Doktor mencadangkan saya membeli 'plate' diimpot dari Switzerland untuk mengelakkan kerumitan semasa pembedahan dan selepas pembedahan. Anak anak saya termasuk Bob yang kembali dari Singapura untuk ziarahi saya bersetuju untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk dapatkan rawatan terbaik. Turut memberikan sumbangan ialah majikan saya, yang datang menziarahi saya di wad.

Siapa yang tidak takut pada pembedahan?? Tapi apa juga keadaan saya mahu pembedahan dilakukan segera supaya saya dapat kembali hidup seperti biasa. Saya dikejutkan pada satu pagi apabila dimaklumkan pembedahan akan dilakukan pada keesukan hari, dan wang untuk pembelian 'plate' dijelaskan' sebelum pembedahan dilakukan. Mujur semua wang dari anak anak dan majikan saya disalurkan ke akan Khairull'nidzam. Saya hubunginya dan minta dia segera membuat bank deraf dan membawanya ke hospital.

Saya tidak lagi dibenarkan memakan atau minum mulai 12 tengah malam. Bangun saja dari tidur pagi itu saya diminta menggantikan pakaian saya dengan pakaian pembedahan. Pada hari itu pembedahan pada hari itu bermula dengan saya. Saya diberikan pil untuk ditelan dan kemudian dibawa ke bilik pembedahan. Beberapa pemeriksaan lisan dilakukan seperti nama saya, dan bahagian mana akan dibedah. Itu saja yang saya teringat. Apabila saya sedar semula saya bertanya kepada yang paling hampir dengan saya, pembedahan baru hendak dimulakan? Saya terperanjat dengan jawapan yang saya terima pembedahan sudah selamat dijalankan dan dalam 10 minit saya akan dihantar bilik ke wad. Alhamdulilah saya terselamat dan pembedahan dilakukan di dalam keadaan saya tidak sedar diri dan tidak merasakan apa apa kesakitan pun.

Tiga hari kemudian saya dikeluaran daripada wad. Saya diingatkan oleh doktor supaya tidak berdiri atau berjalan menggunakan kaki kanan saya, sehinggalah dimaklumkan kepada saya. Saya tinggal di rumah Khairull'nidzam selama 3 hari, dan kemudian meminta Khairull'nidzam untuk hantar saya bilik ke rumah saya di Seremban. Setelah tiga hari di rumah saya, saya rasa saya sedia untuk mengerjakan solat dengan duduk di atas kerusi. Sedih dan terharu juga saya dengan nasib yang saya tempohi. Selama ini saya melihatkan di masjid dan sekarang berlaku ke atas diri sendiri. Untuk beberapa bulan isteri saya terpaksa memandikan saya, dan menggunakan botol untuk buang air kecil. Saya ditemani oleh isteri saya untuk buang air besar atau semasa mengambil wuduh. Saya menggunakan tongkat untuk bergerak dan jatuh tidak kurang 6 kali termasuk sekali semasa di bandar. Mujurlah keadaan saya tidak bertambah teruk.

Nyata berlaku perubahan yang dihhadapi dengan penuh kesedihan dan kehampaan. Tidak pernah saya terfikir saya akan tempohi keadaan seumpama yang saya hadapi ini, tetapi saya mula menerima keadaan seadanya dengan penuh keredzaan dan ujian daripada Allah SWT. Kesukaran dan segala kekurangan saya hadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran, dan benar insaf dan bersyukur kerana keadaan saya beransur baik dan pulih dan meneruskan hidup dalam keadaan seadanya. Alhamdulilah.

Saya kasihan melihat keadaan yang terpaksa dihhadapi oleh isteri saya yang mengharapkan melalui perkahwinan dengan saya dapat dia menumpang kebahagian. Kemalangan bersama dengan saya sikit sebanyak memberikan kesan ke atas kesihatan pada dirinya. Dalam keadaan yang terpaksa ditempohi menjadi lebih berat. Segala kerja rumah dan membersihkan kawasan rumah terpaksa dilakukannya sendiri dan tidak membenarkan lansung saya membantunya kerana bimbang keadaan saya akan bertambah teruk.

Dalam rawatan susulan di Hospital Ampang, doktor mendapati keadaan kaki saya tidak baik dan meminta saya bersetuju untuk dimasukkan semula ke wad. Dia memaklumkan pembedahan akan dilakukan ke atas jahitan kerana dibimbangi terdapat banyak nanak. Saya tidak dibenarkan mengambil makanan atau minum yang bererti pembedahan akan dilakukan segera. Kira Kira jam 4 petang saya dimasukkan ke dewan pembedahan. Dr. Lai yang akan melakukan pembedahan ke atas saya. Dia mendapati keadaan saya belum bersedia lagi kerana tekan darah tinggi yang boleh menyulitkan pembedahan. Dia menalipon Wad 5A untuk mengambil saya semula. Dalam pada itu dia menuruskan beberapa ujian dijalankan ke atas saya. Dalam keadaan tidak sedari pembedahan telah dilakukan dan bila saya sedar, jururawat Wad 5A menunggu untuk membawa saya bilik ke wad. Alhamdulilah.

Pada keesukan hari apabila pasukan doktor membuat lawatan ke wad mereka merasa hairan kenapa pembedahan yang dicadangkan pada awal tidak dilakukan. Mujurlah Dr Lai ada bersama dan memberikan penerangan. Apabila pasukan yang sama membuat lawatan pada sebelah petang, Dr Tay mengesahkan saya dibenarkan balik ke rumah. Alhamdulilah.

Tidak semena saya terbaca di Facebook yang bertanya adakah encik yang pernah dulu bekerja di SMDKP Lenggeng. Yang bertanya itu ialah bekas pelajar saya, Madros Alias, yang kini menetap di Pulau Pinang. Madros Alias kemudian menghebahkan kepada yang lain, dan antara terawal ialah Fatimawati, Samsinar dan Asmarani. Hari demi hari makin ramai bekas pelajar saya yang menghubungi. Saya menerima mesej dari Zainal Md Nor menjemput saya menjadi ahli SMDKP BOYS. Saya menerimanya dan memberikan komen supaya nama ditukar yang lebih sesuai untuk menerima keahlian dari bekas pelajar perempuan, dan bermula dari situlah nama ditukar kepada SMDKP Boys n Girls. Ketika pertama kali saya login bilangan keahlian hanya 19 orang dan 2 minggu kemudian keahlian masih lagi 19 orang. Saya menjemput bekas pelajar di dalam Facebook saya menjadi ahli SMDKP Boys n Girls dan meminta mereka melakukan perkara yang sama. Pada hari ini keahlian sudah mencecah lebih 150 orang.

Pada satu hari saya menerima panggilan talipon dari Aziz Kasim, menyatakan hasratnya hendak bertemu dengan saya di rumah saya di Rasah. Aziz datang bersama isteri dan anak anak mereka, dan tidak lama kemudian Hamdan dan isteri Rosilawati pula sampai. Gambar beramai diambil di rumah saya pada malam itu diposkan di FB oleh Rosilawati pada malam itu juga. Dua minggu kemudian yang datang menziarahi saya lebih ramai lagi. Mereka termasuklah Shamsuddin dan isterinya Azminar, Aziz, Hamdan dan isteri Rosilawati, Nasrah dan suami dan anak anak mereka, Zainal dan isteri, Hamdan, Norhayati Jaafar dan suami dan anak anak. Mungkin setelah mendapat tahu keadaan dan kesusahan yang sedang saya hadapi setiap mereka membawa bersama barang keperluan seperti beras, gula, susu dan berbagai lagi, cukup untuk tempoh yang lama juga, dan yang tidak dapat menhadziri diri disebabkan jauh dan masalah lain, menghulurkan sumbangan kewangan. Alhamdulilah.

Saya merasa terharu dan sungguh gembira apabila dapat bersama di Hari Reunion SMDKP Boys n Girls kerana kesempatan berhariraya bersama bekas pelajar dan keluarga mereka. Terima kasih kepada Aziz dan keluarga kerana kesudian mereka mengadakan Reunion di pekarangan rumah mereka. Terima kasih saya kepada Ija Honey yang mengambil saya dari rumah saya di Rasah dan menghantar saya kembali ke Rasah selepas selesai Reunion. Terima kasih kepada Mazlan yang mencadangkan gotong gotong dijalankan di rumah, serta setiap mereka yang hadzir menjayakan gotong royong tersebut. Sejak dilakukan pembersihan saya dan isteri melakukan kerja kerja bertani dengan tanaman sayuran dan bunga, dengan tunjukajar dan nasihat dari Aziz yang datang bersama puterinya.

Saya sedari kesukaran untuk bekerja semula kerana keadaan kaki saya belum pulih seperti biasa dan mungkin memakan masa yang panjang. Kerana sifat saya suka berusaha sendiri, saya akan memberikan tumpuan kepada bidang bertani dengan pelbagai tanaman seperti tanaman pisang, sayuran, jagung dan apa juga yang boleh memberikan pulangan dalam jangka tempoh yang pendik. Ada juga saya terfikir melakukan berniaga di hadapan rumah seperti jualan pau, goreng pisang dan kuih kuih lain pada sebelah petang hingga jam 10 malam. Saya berharap mendapatkan bantuan kewangan dari anak anak saya untuk membeli peralatan yang diperlukan, dan Insya Allah saya harap dapat saya lakukan sebelum berakhir tahun 2011.

Sememangnya tidak dapat dinafikan kesukaran yang mungkin saya dan isteri akan hadapi di masa akan datang. Mujurlah saya ada rumah sendiri yang bayaran pinjaman perumahan telah selesai dibayar sepenuhnya. Jika boleh saya tidak mahu membebankan anak anak saya, kerana mereka juga berkeluarga dan ada tanggung jawap masing masing. Saya berdoa keadaan kaki dan kesihatan saya berada dalam keadaan sihat dan baik, dan apa yang dirancangkan dipermudahkan dan diberkati Allah SWT. AMIN.

Share this article :

+ comments + 2 comments

October 6, 2011 at 9:22 PM

Assalamualaikum w.b.t,
Cikgu Jamlus beginilah Allah s.w.t menentukan perjalanan hidup kita.Apapun kita dituntut untuk sentiasa bersangka baik denganNya.Ujian adalah sesuai dengan tahap kekuatan iman dan ketabahan kita(peringatan ini juga buat diri saya).Kita diuji dengan berbagai cara.Dimana akhirnya kemanisannya kita kecapi bila sering berbisik-bisik denganNya di setiap sujud dan doa kita,di tengah malam syahdu,ketenangan yang kita miliki mengatasi segala bentuk kemewahan duniawi yang pernah kita miliki.(siapalah saya untuk mengajar cikgu pula...maafkan saya,sekadar monolog dengan diri).

Biarlah di sini saya berterus terang cikgu,pagi itu sungguh mengejutkan bila fb dibuka ada mesej dari cikgu,hati amat bersyukur dan melonjak gembira(tentu cg.masih ingat apa yang cg. tulis kan)dengan nombor tel.yang cg.beri saya cuba mempastikan keadaan sebenar cg.

Sebenarnya sms yang cg.hantar cukup membimbangkan saya,saya yang meminta pertolongan Aziz dan beberapa orang kawan untuk bertemu mata dengan cikgu,saya sungguh bersyukur sahabat-sahabat saya menjalankan amanah dan memenuhi permintaan saya.

Kami merancang beberapa program,malangnya saya tidak dapat hadir namun bersyukur Allah perkenankan segala hasrat murni kami.

Walaupun saya tidak dapat bersama-sama cikgu dan sahabat,dalam hati sentiasa bersyukur dan penuh harapan suatu hari saya akan berpeluang untuk turut serta.

Akhirnya dengan keahlian yang kian bertambah,dari fb kini blog pula,semuanya dengan izin Allah jua.Harapan saya sesuatu yang telah kita mulakan dengan niat yang baik ini akan terus dikekalkan sampai bila-bila,hendaklah semua sahabat beringat-ingat dengan keadaan ini,kerana bila telah sekian lama kita terpisah,telah banyak yang kita lalui dan telah ramai pula yang kita temui,kekadang pendapat dan pandangan juga berbeza.Hormatilah sesama kita,kita bukan lagi budak ingusan,tetapi seorang dewasa yang perlu lakukan sesuatu dengan terpimpin.

Buat cg.Jamlus,semoga Allah sentiasa memelihara cikgu.Amin.

Wassalam.

October 7, 2011 at 11:40 AM

Terima kasih kerana membaca artikel yg dimuatkan dan terima kasih kerana mengambil masa untuk membuat ulasan.

Alhamdulilah saya sentiasa mengucapkan kesyukuran di atas rahmat dan nikmat Allah SWT berikan kepada saya, isteri isteri dan anak anak saya. Saya melakukan apa yang diwajibkan ke atas saya, tetapi pasti tidak mencukupi. Insya Allah selagi hidup dan sihat saya tidak akan melupakan tanggung jawap saya.

Sifat saya tidak perlulah saya jelas, umum mengetahuinya. Saya sedar diri saya dalam serba serbi kekurangan, dan tentu ada yang tidak senang dengan saya. Saya sedari anak anak didikan saya bukan lagi kanak kanak dan sudah bertambah boleh berfikir sendiri, bersetuju atau tidak bersetuju dengan cadangan saya. Saya menerimnya. Tidak jadi masalah pada saya. Kalau saya tidak bersedia masakan saya login di Facebook dan blog pada setiap hari, sekalipun tidak ditegur saya kehadziran saya.

Sememangnya saya terharu dan gembira dengan hubung baik sesama kalian, dan bagi setengah pihak kesempatan menziarahi saya. Alhamdulilah.

Kehidupan ini perlu diteruskan sehingga sampai Allah SWT menentu masanya telah sampai untuk saya berhijarah di alam fana. Mudahan saya masih ada kesempatan menghulurkan bakti seadanya dan termampu pada saya, di dalam keadaan serba serbi kekurangan dan masih belum pulih lagi dari Kemalangan motosikal yang telah pun masuk ke bulan lapan. Alhamdulilah keadaan saya sudah bertambah baik dan Mudah mudahan akan pulih sepenuhnya.

Terima kasih kepada setiap yang memberikan perhatian dan kebajikan saya. Allah SWT saja yang membalas jasa dan budi baik kalian, Insya Allah.

Post a Comment

Nak komen tu komen gak tapi agak agaklah sikiek yo. hehehe

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ex-SMDKP Boys n Girls - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger