Home » , , » Cinta Orang Tuo

Cinta Orang Tuo

Written By Pentadbir on Friday, October 7, 2011 | 4:34 PM

Kisah ini berdasarkan kisah benar yang berlaku di awal tahun 1960an di Kg Sg Machang Ulu, Lenggeng, Negeri Sembilan. Aku dengar dari penceritaan orang-orang kampung kerana ketika itu aku masih berada di sekolah rendah. Nama watak-watak utama adalah nama yang sebenar tetapi penceritaannya kuolah untuk menyesuaikan dengan penceritaan cerpen (cerita pendek). Kisah ini aku siarkan setelah mendapat persetujuan daripada salah seorang warisnya. Sekiranya berlaku kesilapan fakta atau kisah ini menyinggung mana-mana pihak, aku memohon jutaan maaf.



Kak Bayan masih tersepuk di tepi jendela sambil matanya tenang memandang keluar. Hatinya semakin tenang apabila melihat sesusok tubuh anak muda yang sedang mengerjakan kolam ikannya basah bermandi peloh. Kolam yang dihuni oleh ikan talapia, keli, haruan, ikan putih dan beberapa lagi spisis ikan air tawar itu semakin meriah dengan kehadiran sebuah rakit buloh. Di tepi kolam pula semakin biak sayur kangkong menjalar dengan tanaman kontan seperti cili, cilipadi, pokok kari, halia, lengkuas dan bermacam-macam lagi di tebingnya.

Di seberang kolam itu pula ialah pondok kecil untuk penginapan si pemuda. Pondok yang dulunya digunakan untuk menunggu semasa musim durian dengan dinding buloh beranyam dan atap rembia. Kedudukan pondok kecil itu yang mengadap tingkap biliknya memudahkan Kak Bayan memerhatikan tingkah laku si pemuda yang telah bekerja dengannya selama hampir enam bulan.

Semenjak kehadiran anak muda tersebut, tiada apa lagi yang perlu dirisaukan. Kebunnya juga bersih dan menampakkan hasil. Tiada lagi semak belukar dengan ular yang meliar. Semakin senang untuknya bersiar-siar melihat pohon buah-buahan atau mencari pucok-pucok kayu.

"Tib!" Dia memanggil.

Anak muda itu berpaling.

"Baghanti la dulu. Paie makan. Alah den siap an kek dapo tu!"

"Indak ba'a doh. Kajap laie paie lah den." Suara garau anak muda itu menyahut.

"Barantilah. Wak ang kok baghu elok damam. Jangan dituruit an ati bakajo." Kak Bayan memberikan arahan.

"Iyolah, kak!" Anak muda itu menjawab. Dia melangkah ke arah tepi kolam ikan. Kakinya mengocak-ngocak air kolam itu untuk menghilangkan beberapa helai lalang yang melekat. Kemudian dia membasuh tangannya pula sebelum melangkah ke arah pintu dapur rumah lama berkerawang itu. Di pintu dapur dia sekali lagi membasuh tangannya dengan air yang diambil dari tempayan yang disediakan sebagai bilasan terakhir.

Kak Bayan telah berada di dapur sambil menyediakan juadah. Pais ikan sungai, sambal tempoyak cilipadi, kerdas muda, pucuk ubi rebus dengan ikan keli goreng. Nasi dicedok ke dalam pinggan dan diletakkan di hadapan anak muda yang baru duduk bersila itu.

Pangkin kayu beralas tikar mengkuang itu baru sahaja dibina di dapur tanpa dinding itu. Kak Bayan bersyukur kerana selama ini sukar untuknya menguruskan hal dapur kayu yang berlantaikan tanah. Dengan adanya pangkin tersebut mudahlah untuk Kak Bayan duduk sambil mengupas bawang atau menyiang sayur. Sebelum ini Kak Bayan akan menghantar hidangan di pangkin kecil di bawah pohon rambutan berhampiran kolam ikan.

"Kak Yan tak samo ko?" Suaranya yang garau itu mempelawa.

"Wak ang makanlah. Den nak semayang Zohor dulu."

"Maghilah samo. Zohor lun masuok laie." Pemuda itu masih mendesak. "Ada bondo nak den kecek an."

Kak Bayan akur. Semenjak bekerja dengannya belum pernah pemuda itu mengajak makan bersama. Tentu ada sesuatu yang mustahak yang ini dibincangkan berkenaan kebun atau kolam ikannya. Bagai perempuan kampung yang tertib, Kak Bayan duduk bersimpuh mengadap mengadap juadah sambil menundukkan kepalanya walaupun usianya lebih tigapuloh tahun tua dari si pemuda.

"Susah yo nak den kecek an, tapi......" Si pemuda mula bersuara sambil menyuapkan nasi ke mulutnya "bialah kito bataghang dulu daghi diungkik kamudian."

Dada Kak Bayan berdebar. Mungkinkah pemuda ini akan meninggalkannya? Mungkinkah pemuda ini telah mendapat tawaran bekerja dengan orang lain? Bagaimana nanti dengan kebun-kebunnya? Bagaimana nanti dengan kolam-kolam ikannya?

"Saminggu den damam, akaklah yang manjago den. Gadang bana ghaso ea utang den jo akak. Tak cukuit dek taghimo kasiah nak den sampai an," sambung pemuda itu.

Kak Bayan semakin resah.

"Den kaken cando parantau. Manumpang gharubuok urang mancaghi sasuok nasi sataguok air. Tapi, kok yang den dapek labieh daghi yang den mimpi an. Pahatian seminggu yang akak baghi an maso den damam manyada an den batapo sumbang ea iduit ko. Maaplah. Bukan den nak mangato tapi akak pulo jando. Duduok di ghumah gadang surang. Den pulo bujang. Walaupun den di sabarang tabek namun indak manieh juo dipandang urang."

Nafas Kak Bayan semakin sesak.

"Lapeh den pikie dan kigho, apo kato kito manikah yo?"

Bagaikan halilintar membelah bumi, Kak Bayan terpana. Kepalanya terangkat dan memandang tepat ke mata Si pemuda. Tidak mampu lagi untuknya menyuapkan nasi di tangan.

"Bukan harto akak yang den idam an. Wasiat an lah kek anak-anak sadagho. Dapek den manumpang kasiah samantagho iduit, cukuit lah. Sabalum urang mangato."

Kak Bayan tersedar dari lamunan. Dia menoleh ke arah pintu biliknya yang terbuka. Wajah Maimunah yang tersenyum sambil menatang talam makanan terpampang di pintu. Anak gadis jirannya itu masuk dan meletakkan talam tersebut di hadapan di Kak Bayan. Nasi disenduknya dengan penoh tertib. Dipotongnya separuh ikan keli masak lemak cilipadi dan dimasukkan ke dalam pinggan kaca retak seribu berbunga-bunga. Diambilnya sedikit sayur pucuk paku dari gulai yang sama dan dicampurkan sekali di dalam nasi Kak Bayan. Pinggan itu diletakan dihulurkan. Kak Bayan menyambut.

"Makan dulu, Kak." Maimunah mempelawa. "Daghi pagi tadi tak akak jamah ghabuih ubi tu."

"Iyolah, Munah." Kak Bayan tersenyum sambil mula menyuap nasi lembek di tangannya. "Kawu indak sato makan jo den?"

"Indak ba'a, Kak. Aden makan jo paja-paja di dapuo nanti."

Kak Bayan memandang Maimunah yang kini telah berusia pertengahan duapulohan. Gadis hitam manis ini mempunyai semua ciri-ciri gadis kampung yang menjadi idaman setiap ibubapa yang mempunyai anak lelaki. Seharusnya sudah lama dia bersuami tetapi kerana ramai pemuda kampung yang merantau, maka tinggallah dia sebagai salah seorang gadis pingitan di kampung.

"Lah siap ghandang di dapuo?"

"Kajap laie kaghieng la ghandang tu, Kak"

"Ingek yo. Jangan kaghieng bana. Abang Khatib kawu suko ea basah sikiek. Sanang nak dicicah ea jo ubi ghabuih." Kak Bayan mengingatkan Maimunah cara-cara memasang rendang Minang mengikut selera Khatib. Tangannya dibasuh walaupun baru empat suap yang masuk ke mulutnya.

Maimunah hanya mengangguk. Hidangan yang tidak habis dimakan itu diangkat dan dia pun berlalu.

Kak Bayan memandang ke arah tubuh sasa yang memasuki bilik peraduannya itu. Tubuh itu melangkah tenang dan duduk di birai katil.

"Bilo Uda barangkek?" Kak Bayan bertanya dengan suara pilu.

"Pagi besuok." Khatib merenung wajah Kak Bayan yang penuh kesedihan itu. "Sadieh yo ati denai maningga an kawu, Yan."

"Indak ba'a doh. Uda kapaie mancaghi razaki. Tigo taun bukan ea lamo. Kok panjang umo, bajumpo yo laie." Kak Bayan memberikan kata semangat.

"Brome bukan ea dakek, Yan. Ostralia tu nagari urang putieh. Susah ati den maningga an kawu."

"Den bukan ea surang di siko, Uda. Ado tatango ado sadagho. Tanangkan ati. Paielah," Bisik Kak Bayan sambil memberikan senyuman penuh kasih sayang.

"Cukuit duik mambali sabidang tanah sakangkang kagho untuk gharubok bughok nanti, pulanglah den." Janji Khatib. Hajat hatinya untuk memiliki tanah sendiri telah lama dipendam. Tawaran sebagai penyelam mutiara itu tidak mampu dipandang sepi. Baginya inilah peluang terbaik untuk membuktikan kepada orang kampung bahawa dia bukan berharap kepada harta isterinya.

Tiba-tiba Kak Bayan tersentak kerana terdengar jeritan di halaman. Halaman yang sejak tadi riuh dengan ketawa kanak-kanak yang berlari tiba-tiba bertukar dengan tangisan. Ternyata salah seorang dari mereka terjatuh. Kakinya berdarah. Terdengar pula suara ibunya marah-marah oleh kenakalan anaknya.

Kak Bayan tersenyum sendirian. Matanya yang masih memandang ke arah pondok usang di seberang kolam dilindungi oleh kelibat Maimunah. Kak Bayan memanggil.

Maimunah masuk ke bilik dan duduk bersimpuh di sebelah Kak Bayan.

"Kawu jangan lupo janji yo, Munah."

Maimunah tunduk tersipu-sipu. "Tak hingin ea dek Abang Khatib kek den, Kak."

"Sia yang bakato? Kok den yang sabuit an kek wak ea nanti, maun ea yo."

"Camma lo akak nanti?" Maimunah sangsi.

"Indak ba'a doh, Munah. Den alah tuo. Bialah laki den kawin yang mudo lak. Tak tadayo laie den nak malayan ea nanti." Kak Bayan merenung Maimunah yang masih tertunduk. "Asal an maun yo kawu jo Abang Khatib menengok an den ka ujong nyawo, sanang ati den." Katanya sambil mengunjukkan surat-surat yang pernah dihantar oleh Khatib dari luarnegeri.

Maimunah menyambut surat yang sering dibacakannya untuk Kak Bayan.

"Dulu, janji ea tigo tawun yo. Basambuong lo kontrek ea duo tawun laie. Kinin, alah lapeh tujuoh tawun baghu dapek wak ea pulang." Kak Bayan mengeluh. "Makin tuo makin uzur badan den kinin, Munah. Sabalum den mati, bialah den tengok Abang Khatib bahagio."

Maimunah mengangkat muka. Airmatanya berlinangan.

"Bukan den pandang payuong ameh di syurgo, Munah. Bukan den mintak mutiagho kalilieng tangkuok den. Mutiagho yang ciek tu lah yang den nanti an salamo ni." Kak Bayan bersuara lagi. "Bialah den tatah an mutiagho den tu kek kawu." Kak Bayan terus memujuk.

Maimunah berpaling. Dari tingkap tersebut dia dapat melihat seorang budak lelaki yang baru sampai dengan basikal. Basikal Raleigh berkarat itu terhumban apabila budak tersebut melompat turun. "Saha Birin dah baliek, kak. Tando ea rombongan alah dakek." Maimunah bersyukur dengan gangguan tersebut. Hampir setahun dia mendengar rayuan Kak Bayan untuk dia menerima Khatib sebagai isteri. Hampir setahun dia cuba mengelak.

"Pimpin an den ka tanggo. Den nak manyambuit laki den di sinan." Kak Bayan bersuara perlahan.

"Tak payahlah, kak. Akak tunggu yo di siko. Akak bukan ea talok laie." Maimunah membantah.

"Kok paie ea den lambai di tanggo, bialah pulang ea den tunggu di sinan juo." Kak Bayan berkeras.

Maimunah tiada pilihan. Dia terpaksa memanggil beberapa orang lagi untuk memapah Kak Bayan untuk dibawa ke tangga pintu hadapan.

Kak Bayan tersenyum lega apabila dapat duduk di tangga kayu itu. Matanya tenang memandang ke arah lorong yang menghala ke rumahnya. Lorong sunyi yang direnungnya setiap hari sebelum ini akan meriah dengan rombongan yang mengiringi suaminya pulang.

Maimunah hanya mampu duduk di sebelah sambil menupang badan Kak Bayan. Dadanya semakin berdebar-debar.

Senyuman Kak Bayan semakin melebar apabila melihat susuk tubuh Khatib yang mengetuai rombongan mula muncul. Mata redupnya lembut menentang mata Khatib yang bersinar-sinar apabila tubuh itu bagaikan berlari-lari anak menuju ke arahnya.

Maimunah bangun apabila Khatib menghulur tangannya ke arah Kak Bayan. Dia berundur menyisihkan diri ke arah dapur. Dari sana dia memandang tanpa mengelipkan matanya.

Tangan Khatib disambut dan diciumnya. Tangan itu ditarik menyuruh Khatib duduk bersamanya di tangga. Perlahan-lahan dia mengelunsur turun ke anak tangga pertama dengan bantuan Khatib. Kemudian dia membuka ke dua-dua kasut suaminya lalu dibasuh kaki yang sedia bersih itu dengan air tempayan yang berada di tepi tangga. Satu persatu air itu dicedok dengan tempurung. Disiram dan digosoknya perlahan-lahan.

Akhirnya kaki tersebut dipangku satu persatu. Kain batik sarung yang dibuat sebagai kerudung itu diselak. Rambut putihnya yang hanya tinggal paras pinggang disauk ke hadapan dada. Rambut itu kini digunakan untuk mengelap kaki Khatib yang basah. Penuh tertib. Penuh kasih sayang.

Khatib bangun. Tangannya yang sasa menyauk tubuh kurus Kak Bayan lalu ditatang. Tubuh yang semakin ringan itu dibawa menaiki tangga lalu terus ke bilik peraduan. Kak Bayan hanya mampu berpaut di tengkok Khatib dengan linangan airmata kerinduan.

Di halaman rumah masih ramai yang tercegat dengan airmata yang berlinangan.

Di dapur pula kedengaran isakan Maimunah yang tidak dapat lagi menahan perasaan.
Share this article :

+ comments + 1 comments

October 10, 2011 at 10:23 AM

Menarik untuk jadi bahan bacaan ringgan. Saya perlu membaca sekali dua lagi untuk benar benar faham.

Post a Comment

Nak komen tu komen gak tapi agak agaklah sikiek yo. hehehe

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ex-SMDKP Boys n Girls - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger